Jika
melihat sanad keilmuan para tokoh ulama nusantara dan negara-negara
muslim lain yang pernah belajar di Makkah atau Madinah pada pertengahan
abad ke 20, hampir pasti anda akan menemukan nama Syaikh Umar Hamdan di
dalamnya. Beliau memang salah seorang ulama terkemuka dan tokoh penting masa itu
Tak
menghairankan jika namanya selalu disebut apabila kita membaca
bahan-bahan tentang pengajaran ilmu-ilmu keislaman di masa itu.
Sebagaimana abad-abad sebelumnya, Makkah menjadi salah satu pusat
keilmuan yang menonjol, yang sentral kegiatannya berlangsung di Masjidil
Haram.
Syaikh Umar Hamdan, atau lengkapnya Syaikh Umar
bin Hamdan bin Umar bin Hamdan bin Ahmad Al-Mahrasi lahir di Jirbah,
Tunisia, pada tahun 1292H (1875M). Melihat tahun kelahirannya, beliau
seangkatan dengan Habib Ali bin Abdurrahman Al-Habsyi, Habib Alwi bin
Thohir Al-Haddad, Hadhratusy Syaikh K.H. Hasyim Asy'ari, Syaikh Sulaiman
Ar-Rasuli, dan banyak lagi tokoh ulama terkemuka lainnya. Sebahagian
mereka mempunyai guru yang sama. Aktiviti keilmuan Syeikh Umar Hamdan
dilalui dalam masa yang panjang dan melewati berbagai kota dan negeri.
Saat berusia 7 tahun, beliau dibawa ayahnya berangkat ke ibu kota negara
yang terletak di Afrika Utara itu, iaitu kota Tunis.
Beliau tumbuh dalam lingkungan keluarga yang
dikenal keilmuan dan keutamaannya. Sejak kecil beliau telah mempelajari
ilmu-ilmu agama, dimulai dengan mempelajari dan menghafal Al-Quran serta
mendalami tajwidnya kepada Syaikh Al-Manbaji. Lalu beliau mempelajari dasar-dasar ilmu agama yang lain daripada para ulama di sana.
Pada tahun 1303H (1886M) dalam usia 11 tahun, beliau berhijrah bersama ayahnya ke Makkah dan sekaligus menunaikan haji.
Tahun berikutnya beliau diajak ayahnya berhijrah
ke Madinah Al-Munawwarah. Beliau merasa senang dan sesuai tinggal di
kota Rasulullah shollallahu 'alaihi wa alihi washohbihi wasallam itu. Di
Masjid Nabawi beliau menyempurnakan hafalan Al-Quran nya kepada Syaikh
Ibrahim Ath-Tharudi selama sekitar sati setengah tahun. Beliau juga
mempelajari dan menghafal kitab-kitab matan. Di antaranya, kepada
Al-'Allamah As-Sayyid Ahmad bin Ismail Al-Barzanji, mufti Syafi'i di
Madinah, beliau belajar kitab Mughni al-Labib, Alfiyyah Ibnu Malik (keduanya dalam ilmu nahwu, 'grammar' bahasa Arab) asy-Syifa' (karya Qadhi 'Iyadh), dan sebahagian besar Shahih Al-Bukhari dan Shahih Muslim. Selama 2 tahun beliau selalu mengikuti pelajaran gurunya ini.
Syeikh Umar Hamdan juga mengambil ilmu dari para
tokoh ulama Madinah lainnya. Antara lain, Syaikh Falih bin Muhammad
Azh-Zhahiri Al-Mahnawi (mufti Syafi'i di Madinah), Syaikh Muhammad Ali
bin Zhahir Al-Watri Al-Madani, Syaikh Abdul Jalil bin Abdus Salam
Baradah, Sayyid Muhammad bin Ja'far Al-Kattani, Syaikh Abdul Baqi
Al-Anshari. Setiap mendengar kedatangan seorang alim ke Madinah, ia segera menjumpainya, meminta ijazah dan belajar kitab kepadanya.
Ketika Syaikh Allamah Muhammad Al-Kattani datang
ke Madinah, misalnya, ia selalu menyertai dan mengambil ilmu darinya,
meskipun saat itu beliau telah dikenal sebagai seorang ahli dalam fiqh
Maliki dan ilmu nahwu. Rasa haus akan ilmu membuatnya tidak hanya
belajar kepada para ulama laki-laki, tapi juga kepada ulama perempuan.
Di antaranya ia pernah mengambil ilmu hadits dari Sayyidah Amatullah
binti Abdul Ghani Ad-Dahlawi. Demikian disebutkan oleh Syaikh Umar Abdul
Jabbar ketika menjelaskan riwayat hidup Syeikh Umar Hamdan dalam
kitabnya, Siyar wa Tarajim, halaman 230-234.
Tidak puas hanya menimba ilmu di Madinah, beliau
pun melakukan perjalanan ke Mesir dalam pengembaraan keilmuannya.
Guru-gurunya di sini antaranya Syaikh Abdurrahman 'Ulaisy, Syaikh
Muhammad Ibrahim As-Saqa, Syaikh Abdul Mu'thi As-Saqa, Syaikh Muhammad
Khaththab As-Subki As-Salafi, Syaikh Ahmad Rafi' Ath-Thahawi, Syaikh Abu
Muhsin Ali bin Muhammad Al-Bablawi, Syaikh Muhammad Asy-Syafi'i
Azh-Zhawahari, Syaikh Abdurrahman Qara'ah (mufti Mesir), Qadhi Syaikh
Muhammad Bakhit Al-Muithi'i, Sayyid Khidhir bin Husain At-Tunisi.
Setelah itu beliau kembali ke negerinya, Tunisia,
untuk mengambil ilmu dari para tokoh ulamanya yang terkenal. Beliau
mengambil ilmu antara lain daripada Syaikhul Islam Abu Hajib dan Syaikh
Ath-Thayyib An-Nufair. Beliau pun saling berbagai ilmu dengan para ulama
di Universiti Zaitunah, antaranya Syaikh 'Asyur, Syaikh Muhammad bin
Mahmud, Syaikh Bairam Ath-Thayyib.
TERCATAT DENGAN TINTA EMAS
Pengembaraan ilmunya tak berhenti sampai di situ.
Beliau terus ke Fez, Maghribi. Di kota tua ini beliau berbagi ilmu
antara lain dengan Sayyid Al-Mahdi Al-Wazini. Beliau pun mengambil ilmu
dari Sayyid Ahmad bin Al-Ma'mun Al-Balghaitsi (wafat 1348H/1929M),
pemimpin asyraf (jamak kata syarif, keturunan Sayyidina
Hasan, cucu Rasulullah s.a.a.w). Juga kepada Sayyid Abdurrahman bin
Zainan, Sayyid Abdul Kabir Al-Kattani dan saudaranya, Sayyid Abdul Hayy
Al-Kattani.
Dari sana, beliau melanjutkan perjalanan ke
Damsyik, Syria, untuk tujuan yang sama. Antara para gurunya di sini
ialah ahli hadits Sayyid Badruddin Al-Hasani, juga Syaikh Abu An-Nadhr
Al-Khattib, Syaikh 'Atha' Al-Kasam, Syaikh Muhammad Abul-Khair Abidin.
Kemudian beliau kembali ke Makkah untuk mengambil
ilmu dari para ulama yang mengajar di Masjidil Haram. Beliau mengambil
ilmu antara lain dari Sayyid Husain Al-Habsyi (mufti Syafi'i di Makkah,
wafat tahun 1330H/1912M), Sayyid Bakri Syatha, dan Syaikh Sulaiman
Hasbullah. Beliau pun berbagi ilmu dengan Sayyid Abbas Al-Maliki (datuk
Sayyid Muhammad bin Alwi Al-Maliki), dan Syaikh Muhammad Ali Al-Maliki,
juga tokoh besar Makkah dan pernah mengadakan perjalanan ke Indonesia.
Dalam masa ini beliau mulai mengajar di Masjidil Haram dan Madrasah
Al-Falah.
Pada tahun 1343H (1924M), Syeikh Umar Hamdan
pergi ke Aden (Yaman Selatan). Di sini, di antaranya dengan perantaraan
Sayyid Muhammad Zabarah, beliau mengambil ilmu dari Imam Yahya
Hamiduddin, pemimpin Yaman yang sangat terkenal. dengan perantaraan
tokoh ulama di atas juga, beliau mengambil ilmu dari Qadhi Husain
Al-'Amri.
Tak puas tampaknya jika beliau tidak menimba ilmu
di negeri para sayyid, Hadhramaut. Maka beliau pun mengadakan
perjalanan ke sana dan mengambil ilmu dari para tokoh ulamanya, di
samping juga mengajar di masjid-masjidnya karena beliau sendiri telah
menjadi tokoh ulama yang disegani kerana ilmu dan pengalamannya.
Guru-gurunya saat di Hadhramaut antaranya Habib
Abu Abdillah Muhammad bin Salim As-Siri, Habib Abdullah bin Hadun
Al-Muhdhar, Habib Musthafa bin Ahmad Al-Muhdhar (kekanda Habib Muhammad
bin Ahmad Al-Muhdhar, Bondowoso), Habib Muhammad bin Hadun Assegaf,
Habib Syaikh bin Muhammad Al-Habsyi, Habib Abdullah bin Thohir Al-Haddad
(saudara Habib Alwi bin Thohir Al-Haddad, mufti Johor). Beliau pun
mengambil ilmu dari beberapa ulama perempuan, yakni Habibah Sidah binti
Habib Abdullah bin Husain bin Thahir dan saudarinya yang lain, juga
Habibah Khadijah binti Ahmad Al-Muhdhar.
Demikianlah, beliau selalu menggali dari berbagai sumber yang dapat ditemui, dan berkelana dari satu tempat ke tempat lain. Memang begitulah tradisi dan semangat keilmuan para ulama masa itu.
Di mata guru-gurunya, Syeikh Umar Hamdan dikenal
sebagai seorang yang memiliki pemahaman ilmu yang bagus, kecermatan, dan
penguasaan berbagai disiplin ilmu. Selama di Madinah, beliau
benar-benar tekun mendalami sejumlah besar kitab induk dalam berbagai
disiplin ilmu seperti tauhid, fiqh, tasawuf, tafsir, sirah Nabawi, nahwu
(sintaksis), sharaf (morfologi), balaghah (sastera Arab) dan
sebagainya, yang dikuasai dengan sangat baik.
Semua masalah ilmu beliau pelajari, bahkan
hal-hal yang sangat mendetail pun tak luput dari perhatiannya. Apa saja
yang diucapkan gurunya, diperhatikannya dengan baik. Dan tak jarang
beliau mendebat dan mempersoalkannya- tentu dengan cara yang santun.
Dari perjalanannya yang panjang itu, jelaslah
bahawa semua pusat ilmu di Timur Tengah sudah dijelajahinya, dan
tokoh-tokoh ulama terkemuka telah ditemui dan diambil ilmunya. Gurunya
tercatat hampir 100 orang, jumlah yang tidak sedikit.
Beliau dihargai dan dihormati sebagai salah satu
panutan dalam keilmuan, baik saat belajar mahupun mengajar. Sejarah
telah mencatat namanya dengan tinta emas.
ANTARA MAKKAH DAN MADINAH
Setelah memiliki penguasaan ilmu yang luas dan
mendalam dalam berbagai disiplin ilmu, sebahagian besar waktunya
dihabiskannya untuk mengajar. Uniknya, ia membahagi waktunya antara
Makkah dan Madinah. Di musim panas ia mengajar di Madinah, dengan
mengadakan halaqah ilmiah di Masjid Nabawi, tidak jauh dari Raudhah.
Halaqahnya merupakan salah satu dari halaqah terbesar di masjid itu. Sedangkan di musim dingin, ia mengajar di Masjidil Haram, Makkah, dengan mengajar Al-Kutubus Sittah (enam kitab hadits induk).
Sejak tahun 1343H (1924M), ia juga mengajar di
Madrasah Ash-Shaulatiyah dan kemudian di Madrasah Al-Falah, yang
dijalaninya selama 5 tahun. Bukan hanya di masjid dan di madrasah ia
mengabdikan dirinya dalam bidang keilmuan. Rumahnya pun tak ubahnya
seperti sebuah madrasah, di situ selalu diadakan diskusi masalah2 ilmu.
Para ulama memenuhi kediamannya berdiskusi tentang masalah2 keilmuan,
termasuk riwayat hidup para perawi hadits, perjalanan hidup dabn
perjuangan ulama, dan karya2 mereka.
Tak menghairankan jika jumlah muridnya banyak dan
berasal dari berbagai penjuru dunia. Antara mereka adalah Allamah
Syaikh Ibrahim bin Daud Al-Fathani (ulama terkemuka dari daerah Patani,
Thailand Selatan), Syaikh Muhammad Yasin Al-Fadani (tokoh ulama terkenal
dan sangat produktif, kebanggaan kaum muslimin Indonesia, yang meskipun
kelahiran Makkah, orang tuanya berasal dari Padang, (Sumatera Barat),
juga ahli falak Allamah Sayyid Ahmad bin Abdullah bin Shadaqah Dahlan
(putra Sayyid Abdullah Shadaqah Dahlan, ulama terkemuka kelahiran Makkah
yang wafat di Garut pada 1943M), Allamah Sayyid Hasan Al-Masysyath,
Sayyid Alwi bin Abbas Al-Maliki, Sayyid Amin Kutbi, Sayyid Muhammad Nur
Kutbi.
Keseharian Syeikh Umar Hamdan tak pernah lepas
dari urusan keilmuan dan ibadah. Beliau tak memikirkan dan peduli dengan
urusan dunia, lebih dari tak pedulinya anak-anak kecil terhadap urusan
di luar mereka. Beliau telah merasakan kenikmatan dari kegiatannya:
belajar dan mengajar. Beliau juga selalu mengisi waktu-waktunya di luar
itu dengan membaca Al-Quran, i'tikaf, dan muthala'ah kitab-kitab.
Kesukaannya juga membeli kitab-kitab lama, terutama yang berupa tulisan
tangan.
Kesibukannya mengajar di masjid, madrasah, dan
rumah membuatnya tak sempat menghasilkan karya, selain komentar-komentar
singkat pada kitab-kitabnya. Namun beliau memiliki catatan kecil
tentang guru-gurunya dan kitab-kitab yang dipelajarinya, yang dinamainya
Ithaf Dzawi al-'Irfan bi Ba'dh Asanid Umar Hamdan.
Salah seorang muridnya, Syaikh Muhammad Yasin
Al-Fadani, yang dikenal sebagai Musnid Ad-Dunya kerana dipandang
memiliki sanad-sanad keilmuan yang terbanyak di dunia, juga menyusun
kitab tentang sanad-sanad gurunya ini, Mathmah Al-Wujdan fi Asanid Asy-Syaikh Umar Hamdan, dalam 3 jilid, yang kemudian ia ringkas menjadi satu jilid, dengan judul Ithaf Al-Ikhwan bi Ikhtishar Mathmah Al-Wujdan fi Asanid Asy-Syaikh Umar Hamdan.
Setelah puluhan tahun mengabdikan dirinya dalam
dunia keilmuan, pada 9 Syawwal 1368H (4 Ogos 1949M), Syaikh Umar Hamdan
kembali ke hadhirat ALLAH SWT di Madinah dan dimaqamkan di Baqi'. Semoga
ALLAH mengangkatnya ke kedudukan yang tinggi. Amin. Al-fatihah.
Petikan (dengan sedikit modifikasi) Majalah
Kisah Islami alKisah, No.15/Tahun VI/ 14-27 Julai 2008. Ruangan Manaqib
muka surat128-133. Indonesia